Wednesday, February 10, 2010

Rahsia Angka 22..

Di sebalik tersurat, banyak yang tersirat berkaitan tarikh 22 Jun 2002 yang dipilih oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagi mengumumkan pangundurannya secara mengejut ketika Perhimpunan Agung UMNO pada beberapa tahun yang lalu.

Menerajui tampuk pemerintahan negara pada 1981, tarikh 16 Julai 2002 yang lalu telah genap 21 tahun pemerintahan beliau dan mengambil kira pengunduran sebenarnya pada Oktober 2003, ini bermakna Dr. Mahathir akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri mencukupi 22 tahun.

Di sebalik angka, tarikhdan juga tempoh 21, 22, dan 23, tersisip keistimewaan tersendiri bagi mereka yang memahami, terutamanya mereka yang berkira sebarang langkah bersandarkan keredhaan Ilahi.

Memantau peta dunia, benua Asia Barat mengikut abjad A bermula dengan Afghanistan hingga abjad Y, Yaman, kesemuanya berjumlah 22 buah negara di benua Asia. Sebiji bola yang direbut semasa berlangsungnya Piala Dunia juga mempertaruhkan 22 pemain untuk setiap kumpulan.

Angka 22 juga adalah tempoh kitab suci Al-Quran dturunkan secara berperingkat-peringkat, iaitu selama 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari.

Mengambil kira wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w pada usia baginda 40 tahun, dan mula menyemarakkan syiar Islam selang setahun kemudian hingga detik kematian baginda pada usia 63 tahun, bermakna selama 22 tahun jugalah Rasulullah memegang amanah Allah untuk menyebarkan agama Islam untuk umat dunia.

Ada pemikir menilaikan Dr. Mahathir dan seniman kebanggaan kita, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah dua insan genius yang dikurniakan pada orang Melayu tetapi pada detik yang tidak sama.

Kedua-duanya berlainan bidang, tetapi mempunyai sifat ihsan. Sumbangan ditaburkan mereka mencakupi pelbagai cabang pemikiran Melayu yang cukup berharga buat generasi sekarang dan akan datang.

Nombor 22 juga tersisip keistimewaan pada P Ramlee dengan mengambil tarikh kelahiran beliau pada 22 Mac 1929. Sejak mendokong watak utama dalam filem Takdir Ilahi dan Bakti pada 1950 hingga lakonan terakhirnya, Laksamana Do Re Mi pada 1972, P Ramlee telah memerah keringat untuk seni selama 22 tahun.

Penghujung hayatnya dengan semangat membara tetapi diulit dengan kekecewaan di kediamannya sendiri bernombor 22 Jalan Dedap, Taman P Ramlee, Setapak.

Begitulah penyusunan Maha Esa yang begitu kemas dan teratur. Dialah yang menentukannya. Apakah angka 22 ini mempunyai maksud yang tersendiri ataupun hanyalah satu simbolik? Sesungguhnya, Allah jualah Yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.